Timun khususnya di Malaysia sering disajikan sebagai ulam bersama nasi lemak dengan sambal belacan. Sifatnya menyejukkan itu juga digunakan secara meluas di dalam masakan di negara kita. Ada yang gemar memakannya secara mentah iaitu dibuat ulam, diminum dalam bentuk jus dan ada juga yang memasaknya seperti acar. Ia mengandungi perbagai nutrisi yang mampu menjaga dan meningkatkan kesihatan tubuh. Antara kebaikannya terhadap kesihatan tubuh manusia ialah menghidratkan tubuh badan, menyingkirkan toksin dalam badan dan membekalkan mineral kepada kulit
Klasifikasi
Family: Cucurbitaceae
Genus: Cucumis
Species: Sativus
Nama Saintifik
Cucumis sativus
Nama lain
Timun, entimun
habitat
Di Semenanjung Malaysia, herba ini ditanam sebagai sayur (buah).
sifat
Herba merayap hingga separa memanjat dengan struktur tendril yang tidak bercabang. Batang berbentuk bersegi-subsilinder, berwarna hijau berbulu hirsut.
Daun tersusun secara berselang-seli, berbentuk palmat (3-5 lobus), lobus berbentuk ovat hingga orbikular, tepi daun berombak-bergerigi, hujung daun berbentuk akuminat, pangkal kordat, pubesen pada bahagian atas dan tangkai daun agak panjang, berbulu.
Mempunyai bunga tunggal atau dalam kluster, berbentuk kampanulat, berwarna kuning, berlobus lima.
Buah besar memaniang, 10 cm atau lebih, berbentuk Silindeler,glaukus, berwarna hijau. Biji banyak, berbentuk ovoid. berwarna putih hingga kuning pucat.
cara pembiakan
Keratan batang
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Jus timun mengandungi sejenis hormon yang diperlukan oleh pankreas untuk menghasilkan insulin yang kebaikan kepada pesakit diabetes. Ada penyelidik telah menemui sejenis bahan sebatian yang disebut sebagai ‘sterol’ pada timun yang dapat menurunkan paras kolesterol.
Selain itu, ia juga kaya dengan serat, potasium dan magnesium. Bahan ini sangat efektif untuk menstabilkan tekanan darah. Oleh itu, timun sangat baik untuk merawat tekanan darah tinggi mahupun tekanan darah rendah.
Timun mengandungi semua jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan iaitu vitamin A, B, dan C yang menggalakkan sistem imunisasi agar lebih bertenaga dan berseri. Timun ini lebih sesuai dijadikan jus minuman yang dicampurkan dengan lobak merah dan daun bayam. Jus ini elok untuk kulit kerana ia mengandungi 12% vitamin C yang mana cukup untuk keperluan kulit kita dalam sehari.
Biji timun mengandungi racun alkaloid jenis hipoxanti yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang mempunyai masalah cacing. Ia juga mengandungi enzim yang disebut erepsin yang meningkatkan proses pencernaan dan membantu tubuh menyerap protein.
Ingredien Aktif
Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, tannin, erepsin
Farmakologi Tradisional Timun
Dalam rawatan tradisional, timun dikatakan dapat menyingkirkan toksin di dalam badan. Kandungan air yang terdapat dalam timun bertindak sebagai ‘penyapu’ yang akan membersihkan semua sisa buangan yang terdapat dalam tubuh. Dikatakan dengan memakan timun secara kerap, ia dapat melarutkan batu karang.
Timun merupakan sayuran yang mengandungi potasium, magnesium dan silikon yang tinggi. Oleh sebab itu, dapat dilihat kebanyakan pusat spa menggunakan timun sebagai bahan untuk kecantikan.
Cara guna (perubatan traditional)
Mengawal tekanan darah tinggi
Cara 1
Setengah batang timun dikisar, ditapis dan diminum setiap hari (Perak).
Cara 2
Timun dikisar bersama-sama gula batu dan diminum setiap hari selama seminggu (Selangor).
Merawat masalah angin
Timun dicampurkan bersama-sama ramuan yang lain dikisar, diambil pati dan dicampur dengan gula merah dan garam. Sediaan ditambah dengan air dan diminum sekali sehari selama tiga hari (Johor).
Mengekalkan kecantikkan wajah
Timun, temu, kentang, lobak merah, tomato, kulit kayu manis dikisar bersama-sama putih telur dan madu. Sediaan disapukan di muka dan dibiarkan kering selama 15 minit sebelum dicuci menggunakan air suam. Sediaan boleh disimpan di dalam peti air dan digunakan apabila perlu (Johor).
Ramuan lulur badan
Timun dikisar bersama-sama garam halus dan digosokkan pada seluruh badan. Luluran diamalkan selama tiga hari berturut-turut. Sediaan boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk kegunaan seterusnya (Johor).
Rawatan komplemen kepada masalah batu karang
Sebiji timun yang telah masak dibelah dan dibuang bijinya. Timun dicampurkan dengan tawas seruas jari kelengkeng yang telah hancur dan diramas. Pati diperah menggunakan kain dan diambil sebanyak seruas jari kelengkeng untuk diminum sekali sehari sehingga sembuh (Terengganu).
Kesan sampingan
Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)