Keunikan tumbuhan selasih ini, selain daripada fizikalnya yang berbeza, ia turut memberikan hasil masakan yang berbeza juga. Tumbuhan selasih telah digunakan sejak sekian lama, bukan sahaja untuk tujuan masakan malah sebagai khasiat perubatan. Aroma daun selasih ini mampu memberikan ketenangan, maka ia sesuai digunakan terus atau dalam bentuk pati minyak. Ia digunakan sebagai rawatan untuk gatal gatal pada tekak, bertindak sebagai perangsang, pelawas kencing, mengeluarkan peluh, merawat sakit kepala, masalah pembuangan air besar bagi kanak-kanak, kurap, batuk, rawatan selepas bersalin, demam panas dan asma. Juga boleh menambah air susu khusus untuk kaum ibu yang menyusukan anak.
Klasifikasi
Family: Lamiaceae(Labiatae)
Genus: Ocimum
Species: Basilicum L.
Nama Saintifik
Ocimum basilicum L.
Nama lain
Kecubung (Johor,Pulau Pinang, Perak,Pahang), terung pungar (Kedah), kecubong, (Selangor), terung pungap,terung pungat (Perlis),terung kecubung, kecubong putih, kecubung hitam
habitat
Herba ini boleh dijumpai di tanah terbiar serta ditanam di halaman rumah. Pelbagai jenis kultivar telah diperkenalkan berasaskan aroma, rasa dan warna daun atau batang herba ini.
sifat
Herba beraromatik yang boleh tumbuh menegak dan boleh mencapai ketinggian hingga 1 m.
Batang sering bercabang,berbentuk bersegi, berwarna hijau muda hingga ungu gelap, dan permukaan glabrus ke pilos.
Daun tersusun setentang dan dekusat,berbentuk ovat-eliptik,hujung daun berbentuk akuminat, pangkal daun berbentuk atenuat, tepi daun hampir licin atau krenat hingga serat,berwarna hijau muda hingga hijau keunguan,dan berbau wangi apabila diramas. Tangkai daun panjang, berbulu hirsut.
Jambak bunga terdiri daripada 2-3 kelompok sima bertentangan pada terminal. Bunga berbentuk tiub,berwarna keputihan-keunguan hingga putih atau kuning krim. berbulu pilos pada permukaan luar, dan petal bilobus.Petal atas berlobus empat dan petal bawah berbentuk ovat. Kaliks berbentuk loceng,berlobus dua,bersifat pubesen pada permukaan luar, dan pilos pada leher dalam.
Buah dengan empat nutlet yang dilitupi dalam tiub kaliks kekal, nutlet berbentuk ovoid, berwarna hitam hingga perang gelap, dan membentuk salut berlendir apabila direndam di dalam air.
cara pembiakan
Keratan batang dan biji
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Berdasarkan laporan kajian yang dilakukan, pokok selasih mempunyai beberapa sifat anti-barah. Para penyelidik mendapati bahawa ia mengandungi fitokimia yang mencegah barah yang disebabkan oleh bahan kimia (kulit, hati, mulut, dan paru-paru). Ia meningkatkan aktiviti antioksidan, mengubah ekspresi gen, mendorong kematian sel barah, dan menghambat pengembangan saluran darah di dalam sel.
Selain itu. ia juga mempunyai sifat antibakteria dan sifat antimikrobial. Dalam satu kajian tahun 2013, minyak pati digunakan untuk menguji keberkesanannya terhadap strain bakteria tahan banyak ubat Escherichia coli (E. coli). Minyak pati selasih aktif melawan setiap strain E-coli yang diujinya. Ia juga terbukti mempunyai sifat anti-mikrobial yang ditemukan untuk melawan jamur, ragi, dan bakteria.
Jenis selasih tertentu dapat membantu otak. Para penyelidik mendapati ia meningkatkan fungsi kognitif dan juga memperbaiki masalah kesihatan kronik lain seperti diabetes, sindrom metabolik, dan tekanan psikologi. Ulasan 2017 juga mendapati bahawa ia adalah ubat yang baik untuk tekanan mental yang berkaitan dengan kemurungan.
Ingredien Aktif
Ingredien aktif wujud seperti linalool, metilkaviol, metil sinamat, pinen, safrol dan juga alfa-terpinen.
Farmakologi Tradisional Selasih
Kemangi terdiri dari dua jenis iaitu satu berdaun agak kerinting. Jenis ini amat popular dalam masakan Padang di Sumatera dan ia sering dimasak bersama ikan. Jenis kedua pula lazimnya mempunyai daun yang agak kecil dan sering dimakan sebagai ulam.
Di India dan Afrika daun selasih atau pun kemangi digunakan sebagai produk teh yang boleh diminum menggantikan teh biasa. Disamping aromanya yang menyelerakan lazimnya ia akan disajikan ketika pertukaran musim untuk mengelakkan penyakit seperti batuk, selesema dan demam.
Di Eropah pula minyak pati kemangi lazimnya diekstrak dan digunakan sebagai bahan campuran untuk ubat atau pun bahan rawatan tubuh badan seperti sabun, perfume, losyen dan minyak aromaterapi. Aroma minyak pati kemangi akan hilang selepas 24 jam selepas disapu pada tubuh dan ia dikelaskan sebagai minyak pati bernilai tinggi.
Minyak patinya daun selasih dikatakan dapat membantu meringankan dan dapat menyegarkan tubuh badan. Kemangi didapati kaya provitamin A dan dimana setiap 100g kemangi mengandungi 5000 Sl vitamin A. Ia juga mengandungi banyak kalsium dan Posforus yang baik untuk kesihatan .
Kemangi digunakan dalam masyarakat melayu untuk mengatasi masalah kembung perut bagi bayi dan kanak-kanak. Ramasan kemangi bersama bawang merah dan minyak kelapa boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini.
Kemangi segar yang dimakan sebagai ulam dapat menambahkan air susu, menghilangkan bau mulut dan bau badan. Ia juga dapat menyembuhkan masaalah seperti kes cirit birit, batu karang dan masalah albumin yang berlebihan dalam air kencing. Aromanya juga dikatakan dapat menghalau nyamuk.
Cara guna (perubatan traditional)
Melawaskan kencing
Biji pokok selasih direndam di dalam segelas air sehingga kembang.Tambahkan
sedikit susu pekat dan minum dua kali sehari, pada waktu pagi dan malam
selama tiga hari berturut-turut (Pulau Pinang).
Menghilangkan bau badan
Daun selasih dibuat ulam dan dijadikan amalan harian (Pulau Pinang).
Kesan sampingan
Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)