Salderi

Pada masa lalu, salderi ditanam kebanyakannya semasa musim sejuk dan awal musim bunga. Orang suka makan salderi untuk “pembersihan” dan percaya bahawa salderi bertindak sebagai tonik detoks semula jadi yang boleh menghalang penyakit. Biji salderi juga digunakan untuk melegakan kesakitan. Antara kehebatan batang salderi dengan khasiatnya adalah ia membantu dalam pengawalan kadar tekanan darah seperti darah tinggi dan bagi menguatkan kesihatan jantung.

Klasifikasi

Family: Apiaceae

Genus: Apium

Species: Graveolens

Nama Saintifik

Apium graveolens L.

Nama lain

Saderi (Johor), selderi, seladeri

habitat

Herba ini ditanam di Semenanjung Malaysia. Daun, tangkai daun dan tuber digunakan sebagai perisa makanan manakala bijinya sebagai rempah.

sifat

Herba mencapai ketinggian 90 cm. Akar utama berbentuk fusiform atau tuber.

Batang berbentuk bersegi dengan garis memanjang, sedikit berlekuk, tumbuh menegak, berwarna hijau, dan permukaan glabrus.

Jambak bunga merupakan umbel majmuk di aksilari, mempunyai pedunkel pendek, kelopak kepala bunga 10-15, involuker tidak hadir. Bunga berwarna putih atau kehijauan, hujung petal melengkung ke dalam.

Merikarpa mempunyai garisan yang rapat dan bersayap.

cara pembiakan

Keratan batang

Salderi mempunyai banyak khasiat kesihatan
Salderi sering dimasukkan dalam masakan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan kajian yang dijalankan, ia mengandungi peratusan air dan elektrolit yang tinggi cukup diperlukan bagi mengelakkan masalah dehidrasi. Seperti mana bahan-bahan antioksidan yang lain, daun salderi mengandungi flavonoid dan polinutrien polifenol. Selain itu, khasiatnya juga ialah keupayaannya bagi membantu menyihatkan hati, kulit, mata dan kesihatan kognitif.

Para pengkaji juga telah mengenalpasti banyak jenis antoksidan yang ada pada saderi. Antaranya ialah asid fanolik, asid kaffeik dan asid ferulik ditambah dengan flavaol seperti quecetin. Hal ini menjadikan saderi sangat diperlukan bagi merawat pelbagai jenis penyakit yang disebabkan oleh keradangan seperti sakit sendi, gout, sakit buah pinggang. Jangkitan hati masalah kulit, jangkitan salur kencing dan sebagainya.

Dalam kajian farmakologikal yang terkini, salderi menunjukkan bahawa ia memiliki bahan antioksidan dan antikeradangan yang membantu memperbaiki tekanan darah dan paras kolestrol begitu juga dengan mencegah penyakit jantung.

Daun salderi mengandungi satu sebatian yang unik dikenali sebagai 3-n-butylphthalide (BuPh) yang sebelum ini telah dilaporkan mengandungi tindakan bagi mengurangkan lipid.

Satu kajian yang telah dilakukan oleh Jabatan Farmakologi di Universiti Singapura mendapati bahawa apabila tikus makmal diberikan makanan yang tinggi kandungan lemaknya untuk tempoh lapan minggu. Tikus tersebut kemudiannya diberikan ekstrak saderi. Hasilnya menunjukkan terdapat penurunan pada paras lipid yang ada dalam darah tikus tersebut jika dibandingkan dengan tikus yang tidak diberikan ekstrak daun saderi tersebut.

Saderi juga memberikan serat yang diperlukan dalam diet lebih-lebih lagi apabila anda makan lebih daripada sukatan satu cawan dalam satu-satu masa. Ia akan membantu meningkatkan proses pencernaan serta membantu menurunkan berat badan.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti asid fanolik, asid kaffeik, asid ferulik, lavaol seperti quecetin

Farmakologi Tradisional Salderi

Dalam kegunaan tradisional, bijinya pula samada dalam bentuk biji, atau ekstrak dikatakan memiliki khasiat yang menakjubkan. Ia berupaya merendahkan masalah keradangan dan melawan jangkitan bakteria.

Di sesetengah tempat di dunia, daun saderi ini ditanam adalah untuk mendapatkan bijinya yang berkhasiat itu. Ia juga biasanya digunakan sebagai rempat dan apabila dihancurkan, ia akan mengeluarkan sejenis minyak yang dikenali sebagai apiol. Minyak tersebut digunakan sebagai agen perisa serta untuk pelbagai kegunaan dalam perubatan.

Adalah dipercayai bahawa daun saderi membantu merendahkan tekanan darah dengan bertindak dengan memperbaiki aliran kalsium dan kalium keluar dan masuk daripada sel. Ekstrak daun saderi juga membantu salur darah untuk mengembang dan mengecut, meningkatkan aliran darah serta kesihatan jantung seluruhnya.

Selain itu, ia juga membantu mengelakkan masalah pundi kencing, buah pinggang bahkan juga mencegah pembentukan ketumbuhan pada organ pembiakan.

Cara guna (perubatan traditional)

Mengawal aras glukosa dalam darah

Batang selderi yang segar dikisar dan diminum sebanyak tiga kali sehari (Johor)

Mengawal suhu badan

Semasa cuaca kering dan panas, minum segelas jus salderi dua atau tiga kali sehari antara waktu makan.

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top