Masyarakat melayu amnya dari negeri Kelantan dan Terengganu perlukan buah limau nipis dalam hidangan makanan mereka. Ia diperah bersama budu. Sejenis hidangan tradisi dari pantai timur. Jadi, secara tidak langsung diet harian mereka mengandungi serat dan vitamin C yang tinggi. Ia mampu membantu dalam penjagaan kesihatan. Rasanya masam seperti mana limau kasturi menjadikan ia pilihan sebagai perasa semulajadi dalam makanan.
Klasifikasi
Family: Rutaceae
Genus: Citrus
Species: Aurantifolia
Nama Saintifik
Citrus aurantifolia
Nama lain
limau nipis (Johor, Pahang, Melaka, Terengganu, Kelantan, Selangor), limau asam, limau masam, limau amkian
habitat
Biasanya ditanam dan selalu digunakan sebagai perasa manakan atau minuman
sifat
Pokok yang bersaiz kecil, bercabang banyak, dan mencapai ketinggian sehingga 5 m. mempunyai batang dan dahan berduri tajam.
Daun tersusun berselang, berbentuk eliptik-ovat panjang, tepi daun krenulat, hujung daun tumpul, pangkal daun membulat hingga kuneat, permukaan daun berkilat, dan tangkai daun bersayap.
Jambak bunga jenis rasem, aksilari. Bunganya jenis tunggal, bersaiz kecil, berwarna putih dan berbau harum. Kaliks bunga berbentuk cawan dan mempunyai 4-6 lobus, mempunyai 4-6 petal.
Buah jenis beri, berbentuk globos hingga ovoid, bertukar menjadi warna kuning apabila masakm dan isi buah sangat masam. Biji kecil, berwarna putih pudar dan berbentuk ovoid.
cara pembiakan
Keratan batang dan biji benih
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Berdasarkan kajian yang dijalankan, pokok limau nipis dalam perubatan tradisional mempunyai nilai teraputik yang tinggi antaranya antispetik, antiviral, antifungal, antihelmintic, diuretic. Ini disebabkan oleh kehadiran bahan aktif yang tinggi seperti flavonoids, limonoids, phenols, carotenoids, mineral dan vitamins.
Kehadiran bahan anti oksidan yang tinggi di dalam buah limau nipis berperanan penting dalam melawan atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas yang terlalu tinggi boleh mengakibatkan tekanan pengoksidaan yang merosakkan sel-sel dalam badan. Ia membawa kepada masalah kesihatan seperti kanser, penyakit kardiovaskular dan lain-lain lagi.
Jus limau nipis tinggi dengan kandungan asid sitrik. Ia mampu mencegah berlakunya batu karang dengan meningkatkan kandungan sitrat dalam air kencing dan memudahkan pelarutan batu karang.
Kandungan vitamin C dalam buah ini boleh membantu meningkatkan sistem imun dengan meningkatkan penghasilan sel-sel darah putih yang boleh melindungi badan daripada jangkitan dan penyakit.
Ingredien Aktif
Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, limonoids, phenols, carotenoids, asidsitrik, vitamin C.
Farmakologi Tradisional Pokok Limau nipis
Rebusan air daun pokok limau nipis yang ditumbuk selalunya diambil untuk merawat sakit perut, ia juga untuk merawat penyakit kulit dan juga di sapu pada perut selepas bersalin.
Daun yang hancur disapukan pada dahi untuk merawat sakit kepala. Ia juga dipicit berdekatan hidung untuk mengatasi rasa loya dan juga menyedarkan individu yang pengsan.
Air rebusan bunga dipercayai dapat membantu seseorang yang mempunyai masalah sukar tidur atau insomnia.
Dalam perubatan Melayu, jus limau nipis dianggap sebagai tonik dan juga penawar untuk racun. Ia juga digunakan untuk meningkatkan stamina, merawat masalah pendarahan rahim, digunakan sebagai pencuci muka untuk meremajakan kulit dan menghilangkan kotoran.
Selain itu, jus limau nipis turut berguna untuk merawat kerengsaan, cirit-birit dan bengkak akibat gigitan nyamuk. Ia mampu untuk mengawal berat badan seseorang yang jika di ambil di dalam diet, membolehkan seseorang itu menjaga kesihatan yang lebih baik.
Dalam produk kesihatan, ia diproses sebagai produk untuk mengatasi kelemumur, menguatkan rambut, mengatasi kulit kepala berminyak, mencegah keguguran rambut, mengatasi jerawat dan mencerahkan kulit wajah.
Cara guna (perubatan traditional)
Mandian bagi ibu selepas bersalin.
Cara 1
Daun limau nipis dicampurkan bersama-sama meringan, ribu-ribu, mengkudu, jambu batu, belimbing buluh, dan serai wangi. Kesemua daun diambil secekak dan direbus untuk dibuat mandian (Pahang).
Cara 2
Tiga biji buah limau nipis dan akar pokok sintuk diramas di dalam air dan ditambah sedikit bedak sejuk. Air tersebut dijadikan mandian (Perak).
Membersihkan uri
Perahan buah limau nipis dicampurkan dengan tepung beras. Sediaan digunakan untuk mencuci uri kemudiaan dibilas dengan air (Terengganu).
Melegakan batuk
Buah limau nipis dibakar kemudian airnya diperah dan dicampurkan dengan sedikit kapur dan asam jawa. Sediaan diembunkan dan disapukan pada bahagian leher (Johor).
Merawat bisul
Buah limau nipis diperah dan dicampurkan dengan kapur dan disapukan pada tempat bisul. Sediaan disapu dua kali sehari sehingga sembuh (Kedah).
Mengempiskan perut
Buah limau nipis direbus bersama-sama seruas ibu jari ubi jadam. Air rebusan dijadikan minuman mengikut keperluan (Pahang).
Merawat resdung
Perahkan sebiji buah limau nipis dan dicampurkan dengan sedikit bedak sejuk. Kemudian disapukan pada bahgian hidung dan muka (Perak).
Mengurangkan jerawat
Buah limau nipis diperah dan dicampurkan dengan putih telur. Ramuan disebatikan dan disapu pada muka setiap malam sebelum tidur (Selangor)
Mengawal tekanan darah tinggi
Buah limau nipis, halia air dan madu lebah dimasak dengan satu cawan cuka kurma dan cuka epal selama dua jam dengan api yang perlahan. Sediaan tersebut diminum satu sudu besar sekali sehari (Kedah).
Kesan sampingan
Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)