Pokok Ati-Ati

Pokok Ati-ati adalah sejenis tumbuhan hiasan yang menarik dengan daun unik berwarna-warni, sering menampilkan kombinasi satu atau lebih warna. Pokok ini mempunyai pelbagai spesies. Dalam perubatan tradisional, penduduk kampung sering menggunakan daunnya untuk merawat batuk, terutamanya bagi orang dewasa.

Klasifikasi

Family: Lamiaceae (Labiatae)

Genus: Plectranthus

Species: Scutellarioides (L.) R.Br.

Nama saintifik

Plectranthus scutellarioides (L.) R.Br.

Nama lain

Pokok ati-ati (Kedah, Melaka), ati-ati (Kedah, Selangor,Perak),hati-hati (Kedah, Perak, Johor, Pahang), hati-hati hitam (Johor), hati (Kuala Lumpur), ati-ati ungu, pokok bara api, adang-adang

Habitat

Di Semenanjung Malaysia, herba dengan warna daun merah keunguan sering ditanam sebagai perhiasan atau landskap taman.

Sifat

Herba yang boleh mencapai 1.5 m tinggi. Batang tumbuh menegak dan bercabang, berbentuk silinder hingga empat segi, berwarna perang.

Daun tersusun secara bertentangan dan dekusat, berbentuk ovat, tepi daun krenat, hujung daun berbentuk subakut hingga akuminat dan pangkal kordat-kuneat, permukaan glabrus.

Jambak bunga jenis panikel dengan gugusan sima yang ringkas atau bercabang pada terminal, subglabrus, berwarna merah. Bunga berwarna putih-keunguan, berbentuk tiub, korola berlobus dua.

Buah merupakan kekacang yang berbentuk ovoid yang lebar atau globos, berkilat, dan berwarna perang.

Cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Daun Hati-Hati sesuai untuk merawat bisul
Pokok ini selalunya dijadikan pokok hiasan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Dalam kajian semasa yang dijalankan, tumbuhan ini mempunyai potensi antibakteria yang boleh digunakan untuk mengelakkan jangkitan awal dan perkembangan penyakit.

Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa hati-hati didapati mengandungi air, gula, karbohidrat, serat, mineral, vitamin, alkoloid, musilaj (lendir), polifenol, saponin, glikosida flavonol, vitamin C, vitamin B1, vitamin B2, beta karotin, niasin, karvakrol, kalsium, lemak, protein, dan minyak volatile.

Ujian klinikal yang dijalankan plectranthus sp menunjukkan kebolehan antiviral, penyembuhan luka, anti-cancer, anti-hyperglycemic, anti-radang, anti-parasit dan anti oksidan. Penemuan ini direkodkan dalam Journal of Traditional and Complementary Medicine.

Ingredien aktif

Kandungan bahan aktif ialah

Ingredien aktif wujud seperti alkoloid, polifenol, saponin, glikosida flavonol, vitamin C, quercetin

Farmakologi tradisional pokok Ati-ati

Di kalangan masyarakat kampung Malaysia, khasiat daun ati-ati sebagai ubat mengatasi bisul. Daunnya mempercepat kematangan bisul di kulit  sehingga dapat mempercepat pemulihan kulit dari pembengkakan pada bisul.

Di samping itu, jus daun ati-ati membantu masalah keputihan dan merawat dalaman wanita. Lazimnya daun ati-ati digunakan bagi merawat luka atau lecur akibat air panas. Daun yang matang ditumbuk sehingga lumat dan disapukan pada tempat luka. Ia perlu dilakukan beberapa kali sehingga luka sembuh.

Kegunaan pokok ati-ati dahulu banyak diamalkan oleh penduduk kampung secara tradisional. Daun pokok ati-ati boleh digunakan untuk merawat batuk terutamanya untuk orang dewasa. campuran daun ati-ati, daun inai, daun jambu batu dan akar tutup bumi yang direbus hingga mendidih dan diminum airnya dimana ia dipercayai ia boleh mengecutkan rahim bagi wanita baru bersalin.

Di Indonesia, pokok in gunakan untuk merawat ulser dan keradangan di mata dan telinga. Akar nya pula untuk merawat diarrhea dan sakit perut. Turut digunakan untuk kencing manis, sembelit dan demam. Etnik asli mereka turut menggunakan untuk merawat batuk kering.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat gastrik

Cara1

Daun hati-hati dibersihkan, ditumbuk lumat, dan dicampurkan dengan sedikit kapur makan dan tiga biji garam jantan. Ramuan digentel sehingga menjadi bulat dan dimakan (Kedah).

Cara 2

Sehelai daun hati-hati direbus bersama-sama isi cekur sebesar jari kelengkeng. Air rebusan dicampurkan dengan sedikit susu segar dan diminum dua kali sehari iaitu pada waktu pagi sebelum sarapan pagi dan waktu malam sebelum tidur atau minum mengikut keperluan pesakit (Perak).

Penjagaan bagi ibu selepas bersalin

Tiga helai daun hati-hati ditumbuk bersama-sama secekak daun inai dan seinci ibu kunyit. Bahan yang telah ditumbuk, diperah, dan patinya diminum satu sudu pada waktu pagi sebelum sarapan selama tiga hari pertama sewaktu tempoh berpantang (Pahang).

Atau rebus campuran daun ati-ati, daun inai, daun jambu batu dan akar tutup bumi hingga mendidih dan diminum airnya.Ramuan ini dipercayai boleh mengecutkan rahim bagi wanita yang baru bersalin.

Melegakan pedih ulu hati

Daun hati-hati diramas dengan air suam dan air tersebut diminum sehari sekali (Johor).

Melegakan lelah

Cara 1

Secekak daun hati-hati direbus sehingga mendidih dan diminum mengikut keperluan pesakit (Melaka).

Cara 2

Secekak daun hati-hati direbus dengan seinci isi kunyit dan halia makan. Air rebusan diminum tiga kali seminggu (Perak)

Cara 3

Daun hati-hati direbus dengan rizom halia hitam yang telah ditumbuk dan diminum mengikut keperluan pesakit. Air rebusan boleh disimpan di dalam peti sejuk selama tiga hari (Kuala Lumpur).

Melegakan batuk

Cara 1

Sehelai daun hati-hati dibasuh sehingga bersih, dimasukkan ke dalam gelas dengan sedikit gula batu dan ditambahkan air panas dan dibiarkan sehingga suam. Sediaan diminum tiga kali sehari (Kedah).

Cara 2

Tiga helai daun hati-hati diramas bersama-sama kapur sebesar jari kelengkeng dan sedikit air untuk dijadikan ubat sapuan. Sediaan disapu pada leher sekali sehari (Kedah).

Melegakan sakit dada

Cara 1

Secekak daun hati-hati ditumbuk bersama-sama sedikit kapur makan. Bahan yang telah ditumbuk disapukan pada bahagian dada mengikut keperluan pesakit (Melaka).

Cara 2

Tiga atau empat tangkai daun hati-hati ditumbuk lumat dan direbus. Air rebusan diminum dua minggu sekali (Selangor).

Rawatan komplemen kepada masalah jantung

Daun hati-hati dibersihkan dan ditumbuk sehingga lumat bersama-sama satu pokok susu fatimah, pokok paru, garam, dan kunyit. Ramuan tersebut digaulkan pada jantung lembu yang telah dibersihkan dan dibuang lemak berwarna putih berserta lendirnya kemudian dibelah dua. Sediaan dilapik dengan kulit sena dan dibakar sehingga masak untuk dimakan tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam (Perak).

Meredakan demam kuning

Sepuluh helai daun hati-hati diramas, diperah dan ditapis. Air yang telah ditapis diminum sehari sekali pada waktu pagi (Perak).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Sience direct

Jemput jadi stokis PS Herbs

Join program yang menarik dan menguntungkan tanpa risiko.
Whatsapp untuk maklumat lanjut.

Scroll to Top