Lebih dikenali dengan nama tempatan iaitu pokok lidah mak mentua. Tanaman yang berasal dari benua Afrika itu sememangnya sejenis tanaman yang sangat mudah membiak, berketahanan tinggi dan sukar untuk dihapuskan. Ia dikatakan sebagai tanaman yang tahan dan kekal mandiri walaupun diabaikan. Tanaman ini juga didakwa menyerap gas berbahaya di rumah.
Pokok ini sebenarnya beracun dan berbahaya. Ini kerana ia mengandungi bahan aktif saponin yang boleh mengakibatkan gejala-gejala ringan kepada manusia terutamanya kanak-kanak seperti cirit-birit, muntah-muntah dan ruam. Tumbuhan ini turut menyebabkan gejala yang lebih teruk terhadap haiwan peliharaan di dalam rumah seperti kucing dan anjing.
Klasifikasi
Family: Asparagaceae
Genus: Sansevieria
Species: Trifasciata
Nama Saintifik
Sansevieria Trifasciata
Nama lain
Lidah jin (Kelantan)
habitat
Di Semenanjung Malaysia, tumbuhan ini biasanya ditanam sebagai tanaman hiasan dan dipercayai diperkenalkan dari negara luar. Tumbuhan ini biasanya tumbuh di kawasan tropika, subtropika, dan kawasan beriklim sederhana.
sifat
Herba yang tumbuh melalui rizom yang menjalar di atas tanah dan di bawah tanah dan membentuk rumpun yang padat.
Daun tumbuh daripada rizom, menegak, bersifat sukulen dan keras, berbentuk linear lanseolat, hujung daun tajam, daun berwarna hijau bertompok putih manakala bahagian tepi daun mempunyai warna kuning.
Jambak bunga pada terminal bunga berwarna putih, kuning putih atau putih kehijaun. Buah jenis beri, berbentuk globos atau ovoid, berwarna hijau dan bertukar ke jingga cerah apabila matang, dan mengandungi dua biji benih berwarna coklat pucat.
cara pembiakan
Rizom
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Lidah Jin adalah tanaman yang mampu menghasilkan oksigen dengan baik. Klorofil yang dihasilkan akan membantu mempercepatkan proses fotosintesis.
Menurut kajian pusat penyelidikan tempatan, tumbuhan ini dipercayai mampu menjadi kolagen yang bagus untuk kesihatan kulit selain boleh membantu merawat masalah keguguran rambut.
Kajian telah pun membuktikan tanaman ini sangat berpotensi dalam membantu membersihkan udara dan mengurangkan kadar pencemaran gas di dalam bangunan (contohnya karbon monoksida kerana asap rokok dan lain-lain) dan meningkatkan kualiti udara dalaman dengan membuang sisa organik bahan pencemar dari udara di bangunan yang cekap tenaga.
Tumbuhan ini juga mempunya mekanisma perlindungan diri. Mekanisme perlindungan ini adalah berbentuk racun yang terdapat pada batangnya yang mempunyai kandungan bahan aktif saponin. Saponin adalah bahan yang sering wujud di dalam kebanyakan tanaman hiasan. Bahan seperti Saponin dalam sesetengah tumbuhan mungkin mendatangkan iritasi dan kerengsaan pada yang sensitif dan alergi padanya.
Daun pokok lidah mentua ini kaya dengan abamagenin, kardenolin, saponin dan polifenol yang boleh membantu merawat penyakit seperti sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah, buasir, selsema batuk, bengkak dan bisul.
Ingredien Aktif
Ingredien aktif wujud seperti abamagenin, kardenolin, saponin dan polifenol
Farmakologi Tradisional Lidah Jin
Pokok ini mampu menyerap pencemaran dan ia di antara yang terbaik dan sebab itu ia sangat sesuai sebagai pohon hijau untuk indoor.
Malah ia cukup efektif dalam menyedut gas berbahaya seperti toluene, benzene, formaldehye yang dikatakan sebagai punca kanser kepada manusia.
Pada waktu petang, biasanya bunga lidah jin akan mekar dan ia mengeluarkan bau khas yang menyenangkan. Ia cukup sesuai sebagai terapi selepas seharian keluar bekerja dalam mengurangkan tekanan.
Cara guna (perubatan traditional)
Rawatan komplemen kepada masalah batu karang
Beberapa helai daun lidah jin direbus sehingga mendidih dan air rebusan diminum (Kelantan).
Mengawal glukosa dalam darah
Daun segar lidah jin dijadikan satu daripada ramuan herba untuk pembuatan ubat dalam bentuk kapsul. Ramuan dicuci bersih, dijemur sehingga kering, dikisar sehingga halus dan dimasukkan ke dalam kapsul (Kelantan).
Rawatan komplemen kepada maslaah buah pinggang
Cara 1
Beberapa helai daun lidah jin direbus sehingga mendidih dan air rebusan diminum (Kelantan).
Cara 2
Daun lidah jin bersama sama daun dan akar pokok mempelas, belimbing tanah, kemoyang, rumput cina, nenas batu dan pokok nyamuk direbus sehingga mendidih dan air rebusan diminum. (Kelantan).
Kesan sampingan
Tumbuhan in beracun kerana ia mengandungi bahan aktif saponin yang boleh mengakibatkan gejala-gejala ringan kepada manusia terutamanya kanak-kanak seperti cirit-birit, muntah-muntah dan ruam (Hellodoktor.com).
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)