Kangkung

Tanaman kangkung mudah dijaga. Hanya memerlukan sedikit baja dan ia mampu tumbuh dengan subur di kawasan terbuka. Kandungan mineral seperti iodin dan zat besi yang terkandung di dalamnya adalah amat baik untuk menstabilkan tekanan darah. Amat bagus menggunakannya sebagai diet kerana ia kaya dengan serat dan vitamin sangat membantu dalam melancarkan sistem penghadaman. Pengambilan secara konsisten juga amat baik bagi menjaga kesihatan mata. Ia juga kaya dengan beta karoten yang baik untuk penglihatan dan melindungi mata daripada rabun.

Klasifikasi

Family: Convolvulaceae

Genus: Ipomoea

Species: Aquatica

Nama Saintifik

Ipomoea aquatica

Nama lain

Kangkung, kangkung sawah (Kedah)

habitat

Tumbuhan ini selalunya dijadikan sebagai sayur dan biasanya ditanam atau tumbuh meliar di kawasan berair seperti kawasan paya, kolam cetek, parit dan sawah padi

sifat

Tumbuhan jenis herba menjalar atau terapung di atas air, tumbuh cepat dan mencapai 2-3 m panjang. Batang berongga, sukulen, licin, berwarna hijau, dan berakar pada bahagian nod atau ruas batang.

Bentuk daun segi tiga lanseolat, pangkal daun berbentuk kordat atau hastat, tangkai daun berwarna hijau atau ungu.

Jambak bunga pada aksilari, bunga jenis tunggal, korola berbentuk corong, dan berwarna putih. Buah jenis kapsul, berbentuk bujur telur, licin, berwarna perang, dan ditutupi oleh kaliks. Biji bersegi ke membulat, permukaan glabrus atau berbaldu dan berwarna hitam.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji

Kangkung biasanya ditanam di kawasan rumah
Kangkung mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan, kandungan nutrien berkhasiat seperti vitamin A, vitamin C dan beta karotena yang tinggi boleh menghalang pengoksidaan kolesterol dengan berfungsi sebagai antioksida. Ini boleh menghalang penyumbatan arteri dan menurunkan risiko penyakit jantung.

Kangkung kaya dengan potassium yang berperanan dalam menurunkan tekanan darah tinggi. Di samping itu, asid folat yang terdapat di dalamnya membantu untuk menurunkan tekanan darah tinggi dengan mengembangkan salur darah dan melancarkan pengaliran darah ke seluruh badan.

Satu kajian telah membuktikan kesan positif pengambilan sayur ini ke atas metabolisme kolesterol di dalam tikus. Bagi yang diberi sayuran ini menunjukkan bacaan dalam darah yang lebih rendah berbanding tikus yang tidak diberi sayur kangkung. Kajian itu mencadangkan bahawa kandungan sterol yang tinggi dalam sayur ini mampu menurunkan kolesterol jahat dalam darah secara semula jadi.

Ia menunjukkan kangkung boleh melindungi daripada penyakit hati. Peranannya dalam memelihara kesihatan hati adalah dengan mengaktifkan sistem enzim yang akan membersihkan  (detoks) dari toksin dan racun. Selain itu, ia juga mempunyai sifat antikosida dan antiradang yang boleh mencegah kerosakan akibat radikal bebas.

Ia juga mengandungi karotenoid, lutein, zeaxanthin dan vitamin A yang penting untuk kesihatan mata. Lutein dan zeaxanthin boleh melindungi daripada penyakit mata seperti degenerasi macula yang menyebabkan gangguan penglihatan pusat pada orang tua. Kajian menunjukkan dua komponen ini menapis cahaya biru berbahaya dan memelihara kesihatan macula. Selain itu, ia juga menunjukkan pengambilan lutein daripada sayuran berdaun hijau seperti kangkung dikaitkan dengan penurunan penyakit katarak (kekaburan kanta mata).

Kajian telah menunjukkan pengambilan sayuran ini dapat menurunkan bacaan gula dalam darah di dalam pesakit diabetes. Peranan kangkung dengan melambatkan penyerapan glukosa ke dalam darah dan membantu mengangkut dari dalam darah ke dalam sel-sel badan. Pemberian ekstrak kangkung kepada tikus makmal menunjukkan keberkesanan penurunan bacaan gula yang sama seperti ubat.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti vitamin A, C, Beta karotena, flavonoid

Farmakologi Tradisional Kangkung

Kegunaan sayuran seperti kangkung yang tinggi dengan serat tidak larut baik untuk sistem penghadaman. Ia dapat membantu melancarkan pergerakan usus dan mengelakkan daripada sembelit.

Ia adalah salah satu pilihan makanan yang digunakan dalam rawatan tradisional untuk mencegah dan merawat kanser.

Ia diyakini kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral, sayur kangkung juga boleh melindungi dan meningkatkan sistem imun badan. Selain itu, Ia dapat mengurangkan risiko tulang rapuh (osteoporosis). Kangkung mengandungi pelbagai vitamin dan mineral penting bagi tumbesaran kanak-kanak.

Ia sering diambil oleh individu yang ingin mengurangkan berat badan kerana kalori rendah yang ada dalam kangkung. Dalam keadaan tertentu, kangkung diambil  bagi tujuan penyembuhan luka dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Di samping itu, masyarakat Asia menggunakan sayur kangkung percaya ia membantu mengekalkan kesihatan buah pinggang kerana kandungan air yang tinggi yang ada dalam sayur ini. Ia juga dikatakan mampu mengawal paras gula dalam darah.

Pengambilan kangkung secara konsisten juga amat baik bagi menjaga kesihatan mata. Ia juga kaya dengan beta karoten yang baik untuk penglihatan dan melindungi mata daripada rabun.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat buasir

Keseluruhan lima atau enam pokok kangkung dibasuh sehingga bersih dan dicelur seketika. Kangkung tersebut dimakan sekali sehari selama tiga hari berturut-turut (Selangor).

Penawar racun

Keseluruhan pokok kangkung dibasuh sehingga bersih. Kangkung dimakan mentah dan dijadikan sebagai ulam, satu kali sehari dan diambil sehingga sembuh (Kedah).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top