jambu batu

Jambu batu biasanya dijual dalam bentuk jus dan juga snek yang selalunya dimakan bersama asam. Mudah didapati di tepi jalan kerana ramai yang menjualnya. Ia menjadi pilihan kerana ia dipercayai dapat menyejukkan panas badan. Kaya dengan sumber serat pemakanan. Selain itu, bijinya adalah julap (pencuci perut) yang hebat. Dengan kedua-dua manfaat ini, jambu batu menyokong pencernaan dengan menggalakkan usus yang sihat dan membersihkan sistem perkumuhan.

Klasifikasi

Family: Myrtaceae

Genus: Psidium

Species: Guajava

Nama Saintifik

Psidium guajava

Nama lain

Jambu batu (Johor, Melaka, Selangor, Kedah, Terengganu), jambu burung, jambu biji, jambu padang, jambu berasa, jambu bereksa, jambu buyawas, jambu biyawas, jambu pelawas, jambu melukut, jambu burung, jambu Portugal.

habitat

Tumbuhan ini biasanya ditanam dan dijadikan perusahaan buah. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan tropika Amerika dan kini banyak ditanam dan ditemui di kawasan tropika dan subtropika.

sifat

Pokoknya sederhana besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 13 m. Batang dan dahan tidak lurus, kulit batang berwarna cerah hingga perang kemerahan, nipis, licin dan mengelupas.

Jenis daunnya ringkas, tersusun bertentangan tepi daun licin, hujung daun menirus, bentuk daun oblong-eliptik, permukaan abaksial licin dan mempunyai urat daun yang menonjol.

Jambak bunga keluar daripada aksilari daun, sama ada tunggal atau dua kuntum, berwarna putih dan mempunyai banyak stamen.

Buah jenis beri, berbentuk globus, ovoid, dan hujung buah mempunyai kelopak kaliks yang kekal, buah muda berwarna hijau, apabila masak berwarna kuning atau kekal berwarna hijau tetapi isi yang keras menjadi lembut. Ia mempunyai banyak biji.

cara pembiakan

Keratan batang

Jambu batu mempunyai banyak khasiat
Pokok jambu batu menghasilkan banyak buah

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Penyelidikan yang diterbitkan dalam American Journal of Cardiology mendapati bahawa jambu ini membantu mengurangkan kadar kolesterol LDL dan tekanan darah dalam kalangan peserta kajian.

Buah ini juga sangat kaya dengan kandungan serat dan sifat hipoglisemik, yang juga bermanfaat untuk membantu mengurangkan tekanan darah.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2010 mengenai bukti daripada hasil kajian klinikal dan kajian haiwan menunjukkan bahawa teh daun jambu dapat membantu memperbaiki kerintangan insulin dan menurunkan kadar gula darah.

Manfaat ini mungkin disebabkan oleh sebatian dalam ekstrak daun yang membantu penyerapan glukosa secara sederhana selepas seseorang itu makan.

Ia juga mempunyai kandungan karotinoid seperti lycopene, β-carotene, β-cryptoxanthin. Karotinoid adalah komponen yang boleh didapati pada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan dan ianya bersifat anti oksida.

Antioksidan yang kuat iaitu lycopen menunjukkan keupayaan dalam melawan kanser prostat, kanser payudara dan kanser mulut.

Tambahan pula, vitamin C juga terkandung dalam buah ini.  Vitamin dan antioksidan ini menyediakan rangsangan terbaik untuk sistem imun, menyokong melawan percambahan radikal bebas- punca utama kanser.

Ekstrak daun jambu batu merah kaya dengan anti bakteria dapat membantu melawan bakteria penyebab masalah sembelit atau cirit birit.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, saponin, tannin, lycopene, β-carotene, β-cryptoxanthin.

Farmakologi Tradisional Jambu Batu

Dalam rawatan tradisional, terdapat banyak kegunaan pokok jambu batu. Ia dijadikan sebagai herba untuk merawat beberapa masalah kesihatan termasuk cirit-birit, diabetes dan obesiti.

Ia banyak dihidangkan sebagai teh untuk menurunkan berat badan, masalah kencing manis dan mencegah cirit-birit.

Biji jambu mengandungi serat yang tinggi untuk membantu masalah gastrousus seperti sembelit. Ia memudahkan proses membuang air besar tanpa sebarang masalah.

Khasiat lain ialah meningkatkan kesihatan tiroid, merangsang fungsi otak, menurunkan berat badan, mengekalkan keanjalan kulit, memperbaiki kesihatan mata, menyembuhkan sakit gigi, gusi bengkak dan ulser mulut, perangsang kekebalan tubuh daripada jangkitan dan pathogen, menyihatkan jantung.

ar dapibus leo.

Ia juga baik untuk wanita hamil (asid folik atau B9) dan membentuk sistem saraf bayi dan melindungi bayi yang lahir daripada masalah neurologi.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat kudis

Cara 1

Daun jambu batu, daun mata beras dan daun mata kunyit ditumbuk. Tambahkan sedikit air dan disapukan pada bahagian yang berkudis (Pahang).

Cara 2

Daun jambu batu dijadikan satu daripada ramuan dijemur kering dan dikisar. Sediaan dicampurkan ke dalam vaselin dan disapukan pada kudis tiga kali sehari (Pahang).

Cara 3

Tiga hingga lima helai setiap daun jambu batu, asam keping, patawali, keladi, dan seketul garam jantan direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari waktu pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut (Selangor).

Mengecutkan peranakan

Daun jambu batu dijadikan satu daripada ramuan direbus. Air rebusan dijadikan minuman (Terengganu).

Merawat masalah rambut dan kulit kepala

Pucuk dan daun jambu batu diupar kemudian diletakkan sedikit air. Buah yang terhasil disapukan pada tempat yang gatal dua kali sehari pada waktu pagi dan petang (Terengganu).

Merawat luka

Pucuk jambu batu diramas sehingga hancur, ditempelkan di bahagian luka dan dibalut selama dua hari (Pahang).

Meredakan lebam

Beberapa helai daun jambu batu dan daun senduduk dijemur sehingga kering dan direbus. Air rebusan diminum dua kali sehari pada waku pagi dan malam (Johor).

Merawat penyakit kulit

Tiga belas hingga empat belas helai daun jambu batu, daun senduduk, daun betik dan asam jawa direbus dan dijadikan air mandian dua kali sehari pada waktu pagi dan petang (Johor).

Melegakan sakit perut

Pucuk jambu batu dimakan begitu saja sehingga sembuh (Kedah).

Merawat cirit birit

Sehelai atau dua helai daun jambu batu dikunyah kemudian daun yang telah dikunyah dibuang, dan patinya ditelan (Pahang).

Merawat gastrik

Secekak daun jambu batu direbus dengan tiga gelas air sehingga kuantiti air susut menjadi dua gelas air. Air rebusan diminum sehari sekali (Pahang).

Penawar racun

Tiga helai daun pucuk jambu batu dimakan begitu sahaja (Pahang).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top