Daun cekur merupakan herba dalam keluarga yang sama dengan halia. Ia tumbuhan tidak berbatang. Juga dikenali sebagai kencur. Biasanya tunas pokok cekur boleh tumbuh terus daripada hujung rizom yang mendatar di bawah permukaan tanah. Di Malaysia, tradisi menggunakan daun cekur untuk menghilangkan kelemumur, menghilangkan sakit gigi dan menyembuhkan penyakit resdung.
Klasifikasi
Family: Zingiberaceae
Genus: Kaempferia
Species: Galanga
Nama Saintifik
Kaempferia galanga
Nama lain
Cekur, cekor, chekur (Johor, Melaka, Kedah), cekur daun panjang (Terengganu), cengkur, kencur.
habitat
Sering dijumpai di kawasan teduh seperti hutan terbuka dan hutan buluh dengan altitude mencapai 1000 m.
sifat
Merupakan herba yang kecil dan mempunyai daun yang terdiri daripada 3-5 helai daun. Daun tumbuh secara melintang dan menghampiri tanah bentuk eliptik, hujung daun akuminat, glabrus pada bahagian adaksial dan berbulu.
Jambak bunga tumbuh menegak daripada celah daun, tidak bertangkai, dan mempunya 12-15 kuntum bunga. Bunga berwarna putih dan ungu pucat pada bahagian pangkal.
cara pembiakan
Keratan batang dan rizom
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Hasil penemuan penyelidikan, dau cekur mengandungi banyak kandungan bahan aktif seperti asid metil kanil, asid cinnamic, kamphene, paraeumarin, asid anisik, alkaloid dan gam.
Analisis makmal yang dijalankan menemui banyak provitamin A karotena. Ia juga kaya dengan vitamin B dan C, protein dan mineral.
Laporan penyelidik USM Pulau Pinang (tahun 2011), kandungan utama cekur antaranya etil-p-methoxycinnamate dan etil-cinnamate yang memberi kesan antioksidan kepada badan. Ia biokatif yang baik bagi kesihatan badan secara amnya.
Ingredien Aktif
Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, steroids, phenols, asid lemak, terpenoid.
Farmakologi Tradisional Daun cekur
Secara tradisional, daun cekur digunakan untuk membuang angin di dalam badan. Air kencur dikatakan bagus untuk memecahkan angin dalam urat saraf. Baik bagi ibu mengandung dan juga ibu dalam pantang, mengalami keguguran.
Daun cekur juga mampu proses memulihkan rahim selepas melahirkan anak. Ia sesuai digunakan untuk merawat luka sepanjang tempoh mengandung dan proses bersalin. Cekur juga membantu membanyakkan susu ibu.
Masyarakat Melayu mengunyah umbi cekur untuk menghilangkan gatal tekak, menyembuhkan anggota badan yang bengkak. Cara yang digunakan untuk mengurangkan selsema ialah dengan menghidu rizomnya
Cara guna (perubatan traditional)
Memperbanyakkan susu ibu
Isi cekur, lempoyang, kunyit ditumbuk, diperah airnya, ditapis dan dicampurkan bersama-sama dua sudu madu, limau dan garam. Sediaan diminum sekali sehari pada waktu pagi (Johor).
Ramuan bedak sejuk
Daun cekur ditumbuk Bersama-sama limau purut, jerangau, kunyit, daun sup dan beras yang telah direndam dan ditukar air berkali-kali sehingga beras menjadi lembut. Campuran dijemur sehingga kering. Bedak sejuk disapukan di bahagian muka setiap kali sebelum tidur (Johor)
Merawat kudis
Daun dan rizom cekur dibersihkan dan ditumbuk bersama-sama lengkuas sebesar ibu jari. Ramuan tersebut dicampurkan sedikit bedak sejuk dan ditempel di bahagian kudis sehingga sembuh (Selangor).
Merawat luka dalaman
Akar cekur bersama-sama akar petai, jering, cempedak, nangka, jerangau dan kunyit dibersihkan, dicincang, dicampurkan dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum dua kali sehari sehingga sembuh (Pahang).
Merawat gastrik
Rizom cekur sebesar jari kelengkeng direbus bersama-sama sehelai daun ati-ati. Air rebusan tersebut dicampurkan sedikit susu cair dan diminum dua kali sehari, pagi sebelum sarapan dan malam sebelum tidur (Perak).
Meredakan demam
Cara 1
Tujuh helai daun cekur atau daun bunga raya putih atau daun melur diramas di dalam sedikit air sehingga keluar lendiran. Sediaan dibasahkan ke atas kepala pesakit sehingga demam berkurangan (kedah).
Cara 2
Segenggam daun cekur diramas kemudiaan diusapkan di atas kepala kanak-kanak yang demam (Terengganu).
Kesan sampingan
Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)