Daun Lemuni atau Lengundi memang begitu dikenali oleh masyarakat yang tinggal di kampung khususnya di sebelah utara dan pantai timur. Daun ini cukup terkenal dalam ramuan membuat nasi ulam dan nasi lemak. Masih ramai yang menggunakan daun lemuni dalam masakan nasi lemak kerana dipercayai memberi khasiat awet muda.
Klasifikasi
Family: Lamiaceae (Labiatae)
Genus: Vitex
Species: Trifolia L.
Nama Saintifik
Vitex trifolia L.
Nama lain
Lemuni putih, lemuni hijau (Kedah, Pulau Pinang),
lemuni (Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu), laguning (Kelantan), legundi
habitat
Di Semenanjung Malaysia, tumbuhan ini boleh dijumpai di kawasan pantai berpasir dan banyak juga ditanam. Spesies ini mempunyai beberapa subspesies.
sifat
Tumbuhan renek mencapai ketinggian hingga 2.5 m. Batangnya berbentuk silinder hingga bersegi, putih, tomentos.
Daun setentang, trifoliat. Anak daun tengah berbentuk eliptik, hampir tidak bertangkai, anak daun sisi berbentuk obovat, tidak bertangkai, hujung daun berbentuk hampir akut, pangkal atenuat hingga kuneat, margin sekata, glabrus pada permukaan atas, dan tomentos putih kelabu pada bahagian bawah. Daun berbau aromatik apabila diramas.
Jambak bunga pada terminal, jenis panikel, diliputi bulu tomentos putih. Bunga berbentuk tubular, berwarna ungu pucat hingga biru, kaliks kampanulat berwarna putih tomentos.
Buah berbentuk globos, berwarna perang.
cara pembiakan
Keretan batang
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Analisis kimia menunjukkan ia mengandungi x-pinene, camphne, terpenyal-acetate dan diterpene alkohol. Kesemua sebatian ini merupakan minyak pati yang memberikan aroma kepada tumbuhan ini.
Selain itu, terdapat banyak sebatian antioksidan yang dilaporkan terkandung dalam ekstrak daunnya termasuklah casticin, luteolin, vitexin, eucalyptol, caryophyllene. Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabete, kanser atau Alzheimer.
Beberapa kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mengalami keradangan seperti sembab mendapati daun lemuni mempunyai aktiviti anti radang dengan mengurangkan sembab yang dialami. Turut dilaporkan bahawa ekstrak daun lemuni mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser serviks dan payudara.
Ingredien Aktif
Kandungan bahan aktif ialah casticin, luteolin, vitexin, eucalyptol, caryophyllene.
Farmakologi Tradisional Lemuni Putih
Di kalangan masyarakat Melayu, daun lemuni boleh digunakan untuk mengubati penyakit rheeumatism, daunnya ditumbuk dengan kapur barus kemudian dipupuk pada tempat yang sakit. Air rebusan daun muda digunakan untuk mengubati muntah darah.
Air rendaman daun ini jika dijadikan air mandi dipercayai dapat memulihkan anggota-anggota badan yang lemah, terutama setelah sembuh dari sakit yang berlarutan.
Ibu berpantang yang mengamalkan air rebusan lemuni semasa berpantang akan berasa segar dan bertenaga. Malah daun lemuni juga membantu ibu berpantang untuk menurunkan berat badan dengan cepat. Sebagai bonus, air rebusan daun lemuni juga membantu menyihatkan tubuh badan dan mencepatkan proses penyembuhan luka bersalin.
Manakala biji biji benih pokok lemuni putih turut mempunyai khasiat tersendiri iaitu dipercayai boleh mengelakkan bisa gigitan binatang daripada merebak,bijinya dijadikan ubat cacing.
Sementara itu lain-lain nilai perubatan yang ada pada lemuni ialah daunnya boleh juga digunakan untuk mencuci rambut untuk menghalau kutu dan mencegah kelemumur serta mengubati kurap dan luka-luka di celah kaki.
Air rebusan daun lemuni bagus bagi meredakan perut dan mengelakkan daripada anda mengalami kehilangan air yang banyak dan dehidrasi akibat cirit birit.
Cara guna (perubatan traditional)
Melegakan selesema
Daun lemuni putih direbus sehingga mendidih kemudian wap daripada air rebusan diwapkan ke bahagian muka yang telah diselimutkan sehingga air rebusan menjadi suam.
Penjagaan kesihatan dalaman
Pucuk lemuni putih yang muda dijadikan sebagai ulam, dimakan satu hingga dua kali sehari, dan dijadikan sebagai amalan (Pulau Pinang, Kedah).
Ramuan majun
Daun lemuni putih sebanyak 100g dicampurkan bersama-sama lemuni hitam, keseluruhan bahagian kancing baju, halia bara sebesar ibu jari kaki, kunyit terus sebesar ibu jari kaki, tongkat ali sebesar ibu jari kaki, dan 100g lada hitam. Ramuan dikisar sehingga lumat dan dicampurkan dengan madu lebah kemudian digentel kecil-kecil. Majun dimakan sekali sehari selepas sarapan (Kedah).
Ramuan minyak urut
Akar lemuni putih dicampurkan bersama-sama gajah tarik, steru, halia bara, kunyit, inai, majakani, pegaga, misai lebah, halba, serai wangi, dan jerangau digoreng selama 1/2 jam kemudian dikisar halus. Campuran kemudian dimasak menggunakan 5 kg minyak masak selama beberapa jam. Minyak digunakan apabila perlu (Kedah).
Ramuan bertangas
Segenggam daun lemuni putih bersama-sama 2-3 batang serai wangi, 2-3 batang lengkuas, segenggam daun meringan, dan 3-4 tangkai daun inai dibersihkan dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan yang masih panas, diletakkan di tepi bangku atau diletakkan di bahagian tengah untuk kerusi khas bertangas. Pesakit akan duduk di dalam tikar yang ditutup rapat bersama-sama air rebusan yang masih panas sehingga air rebusan sejuk lebih kurang 1 jam 15 min. Amalan ini dilakukan pada waktu pagi selama dua hari atau mengikut keperluan (Pulau Pinang).
Merawat senggugut
250 g lemuni putih bersama-sama 1kg tutup bumi, 250g pegaga, 250 g tapak kuda, 125 g kemuning hitam, 250g lengkuas kecil diracik halus, dijemur sehingga kering atau selama seminggu, dan kemudian dipanaskan menggunakan ketuhar selama 20 minit dengan suhu 130°C. Campuran bahan dikisar sehingga menjadi serbuk halus dan dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul dimakan dua kali sehari dan diamalkan sehingga sembuh (Pulau Pinang).
Kesan sampingan
Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)