Daun ketum adalah herba yang digunakan secara tradisional untuk memberi tenaga selepas bersalin dan kekuatan melakukan kerja berat atau tugas membosankan dalam rutin seharian. Ia diisytihar bahan terlarang sejak tahun 2003. Ketika ini, pelbagai jenis ubat dan herba tradisional disalah guna, ditambah perasa malah dicampur bahan terlarang. Akan tetapi daun ketum telah digunakan secara tradisional untuk mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat. Malahan, air rebusannya juga dikatakan telah digunakan sebagai ubat tradisional untuk merawat penyakit tertentu seperti merawat sakit belakang, demam, batuk dan penyakit cacing serta sebagai penawar diabetes, darah tinggi dan lain-lain.
Klasifikasi
Family: Rubiaceae
Genus: Mitragyna
Species: Speciosa (Korth.) Havil.
Nama Saintifik
Mitragyna speciosa (Korth.) Havil.
Nama lain
Ketum (Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pahang), biak (Kedah, Perlis), kutum,
habitat
Sering dijumpai di hutan sekunder dengan altitud yang rendah, hutan berdekatan dengan kawasan sungai dan juga kawasan paya.
sifat
Pokok besar dengan ketinggian mencapai 30 m. Ukur lilit batang antara 60-100 cm. Batang berwarna kekelabuan.
Daun jenis ringkas, tersusun secara setentang, bentuk oblong hingga ovat, hujung daun berbentuk akuminat, pangkal daun bulat, tepi daun licin, permukaan glabrus, peruratan bawah daun puberulus, peruratan mempunyai 12-15 pasang, dan stipul berbentuk lanseolat.
Infloresen terletak di terminal atau di percabangan batang. Bunga biseksual, kaliks berbentuk cawan, korola berwarna putih kekuningan dan berubah kepada kuning pekat, korola berbentuk corong.
Buah berbiji banyak.
cara pembiakan
Keratan batang dan biji benih
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Ekstrak daripada daun ketum ini seringkali dijadikan sebagai stimulan atau sedatif yang kononnya mampu memberi tenaga dan motivasi kepada pengguna. Terdapat juga 24 bahan lain yang terkandung didalam ketum antaranya ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine.
Menurut kajian European Monitoring Centre for Drugs and Drug Addiction (EMCDDA), dos kecil minuman ketum mungkin mampu memberikan kesan positif seperti kepekaan, ketenangan, kecergasan, kekuatan.
Ia mungkin adalah disebabkan oleh kandungan alkaloids mitragynine and 7-hydroxymitragyni di dalamnya yang mampu merangsang fungsi tubuh badan.
Kajian di Malaysia bagi pengguna air ketum tegar di mana mereka mengalami kejang otot dan sakit, sukar untuk tidur, demam, tiada selera makan dan mengalami masalah psikologi atau mental.
Selain itu, kandungan alkaloid di dalam daun ketum yang memberi ransangan akan hilang sekiranya air rebusan itu tidak lagi segar.
Ingredien Aktif
Ingredien aktif wujud seperti alkaloids mitragynine dan 7– hydroxymitragyni, ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine.
Farmakologi Tradisional Ketum
Bagi kegunaan tradisional, ada individu yang mengambil ketum dalam usaha mendapatkan lebih tenaga dan motivasi kepada tubuh badan. Minuman ketum memang mampu berfungsi sebagai stimulan atau sedatif untuk merangsang tubuh badan manusia.
Hasilnya, ia mungkin akan mampu membuat pengambil minuman daripada tumbuhan ini lebih cergas, kuat dan berasa lebih baik dari aspek fizikal serta mental.
Ia juga dipercayai mampu merawat sakit seperti sengal otot, lemah sendi, kepenatan, kegelisahan serta pelbagai keadaan kesihatan lain.
Di Malaysia, daun ketum dikatakan herba yang mujarab sebagai herba ubatan alternatif yang dicuba dalam mengawal kadar gula dalam darah. Kemanpuan untuk menurunkan kadar gula dalam darah secepat munkin adalah penting terutama untuk pesakit yang menpunyai luka dan bengkak(diabetes feet) untuk menbantu memulihkan tisu dan mencegah jangkitan(infection).
Masyarakat tradisi mengunakan daun ketum untuk membantu menambah tenaga atau mengembalikan kesegaran selepas penat berkerja. Ia dimakan secara segar seperti mengunyah daun sirih.
Cara guna (perubatan traditional)
Merawat kayap
Cara 1
Daun ketum dikunyah bersama dengan daun setoi kemudian disemburkan bahan yang dikunyah pada tempat yang terkena kayap sekali sehari selama tiga hari berturut-turut (Kedah).
Cara 2
Daun ketum bersama dengan gambir, daun sirih, dan garam jantan direbus mendidih. Air rebusan dijadikan minuman dan campuran daun dilumurkan pada bahagian kulit yang terkena kayap. Tempoh rawatan adalah selama seminggu (Selangor)
Merawat penyakit kulit
Daun ketum bersama dengan gambir, daun sirih, dan garam jantan direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman dan campuran daun dilumurkan pada bahagian kulit yang bermasalah.
Merawat kecacingan
Cara 1
Beberapa pucuk ketum yang segar dikunyah dan disembur pada pusat pesakit sehingga kaki. Semburan dilakukan sehari sekali, pada waktu pagi sehingga sembuh (Kedah).
Cara 2
Segenggam daun ketum dikeringkan dan ditumbuk atau dihancurkan. Bahan yang telah ditumbuk dicampurkan dengan sedikit air dan disapu pada perut pada waktu malam (Kedah).
Melegakan sakit perut
Cara 1
Tiga helai daun ketum dijemur sehingga kering. Daun yang telah kering dimakan begitu sahaja (Perlis).
Cara 2
Tiga helai daun ketum yang segar direbus. Air rebusan diminum apabila perlu (Perlis)
Merawat lemah tenaga batin
Akar pokok ketum dibersihkan, dipotong dan direbus sehingga mendidih bersama-sama segenggam bagi setiap jenis bahan iaitu pokok dulang, pokok embun tengah hari, mata pelanduk, mubi, periuk kera, pucuk hidup, tunjuk langit, dan ubi jaga. Air rebusan dijadikan minuman 1-3 kali sehari atau mengikut keperluan (Kedah).
Mandian bagi ibu selepas bersalin
Segenggam untuk setiap jenis daun ketum, seringan, serai, kunyit, nyarong, dan bongor dicampurkan dan direbus sehingga daun menjadi layu. Air rebusan dijadikan mandian pada waktu pagi sahaja selama tiga hari berturut-turut (Pahang).
Merawat gout
Lima atau enam helai daun ketum direbus. Air rebusan diminum dua kali sehari, setiap pagi dan petang selama seminggu (Perak).
Meningkatkan tenaga
Sembilan helai daun ketum yang telah dibuang urat tengah direbus dengan 500 ml air sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman dan diminum mengikut keperluan pesakit (Selangor).
Rawatan komplemen kepada masalah buah pinggang
Pucuk kaum segar dimakan bersama dengan nasi dan dijadikan sebagai amalan harian (Pahang).
Mengawal aras glukosa dalam darah
Daun ketum yang segar dibersihkan dan dibuang uratnya. Daun tersebut direndamkan daun di dalam secawan air panas atau direbus. Air rendaman atau rebusan tersebut diminum (Kedah, Negeri Sembilan, Selangor).
Mengawal tekanan darah tinggi
Cara 1
Daun ketum yang segar dibersihkan dan dibuang urat tengah kemudian direbus untuk dijadikan minuman (Kedah, Selangor).
Cara 2
Tiga helai daun ketum dibersihkan, dikeringkan, dan direbus dengan 3 air sehingga menjadi 21. Air rebusan diminum secawan sekali sehari dan diminum sebelum tidur (Kedah).
Merawat luka (komplikasi kencing manis)
Tujuh helai daun ketum direbus sehingga mendidih. Air rebusan dibiar menjadi suam dan digunakan untuk mencuci bahagian luka atau mereput 1-3 kali sehari mengikut keadaan luka. Langkah tersebut diulang setiap hari dengan menggunakan air rebusan yang baharu sehingga sembuh (Kedah).
Kesan sampingan
Daun ketum mempunyai kesan sampingan jika diambil secara berlebihan seperti muntah dan mual.
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)