Pokok patawali mempunyai batang yang agak menggerutu. Biasanya pokok ini ditanam. Dipercayai pokok patawali mempunyai pelbagai khasiat dalam rawatan tradisional. Antaranya ialah untuk merawat luka, resdung dan merawat buasir. Air rebusan keseluruhan tumbuhan ini terasa sangat pahit dan dijadikan sebagai ubat reumatik yang dikatakan mampu mengurangi gula dalam darah, menurunkan suhu panas badan dan membantu mengurangi gejala kencing manis.
Klasifikasi
Family: Menispermaceae
Genus: Tinospora
Species: Crispa (L.) Hook.f. & Thomson
Nama Saintifik
Tinospora Crispa (L.) Hook.f. & Thomson
Nama lain
Patawali, seruntun (Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan, Kedah), seruntum (Kedah, Perak), seruntung, akar suntun, bakawali, batawali (Pahang, Terengganu), akar wali (Selangor), akar patawali, akar seruntum, putarwali, petawali, patarwali, gasing-gasing.
habitat
Pokok yang dijumpai di semenanjung Malaysia, biasanya ditanam.
sifat
Jenis pokok pepanjat berkayu, mencapai panjang sehingga 15 m. batang bersifat menggerutu, mengandungi sap yang pahit, dan menghasilkan akar-akar udara yang panjang.
Daun tersusun berpilin, berbentuk ovat, orbikular, pangkal daun kordat, hujung daun akuminat dan tepi daun licin atau berombak.
Jambak bunga jenis pseudorasemos dan berbunga apabila tumbuhan dalam kedaan tidak berdaun. Bunga biseksual, mempunyai tiga petal, dan berwarna hijau.
Buah jenis drup, berbebntuk ellipsoid, permukaan buah hampir licin dan berwarna jingga.
cara pembiakan
Keratan batang
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Kajian saintifik yang dijalankan ke atas Patawali menunjukkan tumbuhan itu mengandungi sejenis bahan yang dipanggil jattrorrhizine yang dikatakan mujarab untuk menjauhkan penyakit demam malaria. Pikroretin yang terdapat didalamnya dapat menurunkan suhu panas badan (mengubat demam).
Hasil ekstrak rebusan tumbuhan herba akan mengandungi pelbagai bahan termasuk bahan aktif yang akan menghasilkan pelbagai kesan perubatan.
Namun dari kajian yang dijalankan juga dipercayai terdapat bahan yang merbahaya atau toksik. Pengambilan air rebusan patawali dalam jangka masa yang panjang dan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.
Ingredien Aktif
Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, jatrorrhizine, pikroretin.
Farmakologi Tradisional Pokok patawali
Masyarakat Melayu dahulu juga percaya dengan pengambilan air rebusan patawali dapat menghindari dari gigitan nyamuk. Rasanya yang pahit ini juga apabila disapu pada payudara ibu, akan memudahkan bayi bercerai susu.
Di Indo-Cina keseluruhan bahagian dari pokok patawali diguna sebagai ubat demam yang dapat menggantikan kinine. Manakala masyarakat di Filipina pula menganggap patawali sebagai ubat serba guna sehinggakan dapat digunapakai untuk merawat penyakit mental atau gila.
Bagi tujuan perubatan, batangnya yang menggerutu adalah bahagian utama yang mengandungi khasiat. Batang patawali digunakan untuk merawat sakit perut, demam, tekanan darah tinngi, kencing manis dan juga penyakit kelamin dikenali sebagai gonorea.
Tumbuhan ini mujarab bagi mengatasi masalah cacing dikalangan kanak-kanak. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah, dan mujarab untuk membunuh kuman dan menyembuhkan luka.
Selain daripada itu ia juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi dan meningkatkan selera makan. Air rebusan ini juga dapat mengubat sakit pinggang dan sengal-sengal (boleh dicampur dalam minyak urut). Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk membasuh kudis-kudis setelah dicampur dengan sedikit belerang.
Cara guna (perubatan traditional)
Ramuan minyak urut
Cara 1
Batang patawali dijadikan satu daripada ramuan yang dimasak bersama-sama sebotol minyak jarak, 10 biji kelapa dara, tiga botol minyak zaitun, 1 kg minyak lenga, ½ kg minyak kayu putih, satu tin besar minyak masak, lima ketul inggu, tiga paket rempah ratus, 1 kg habatus sauda, 1 kg ibu gamat yang telah dibakar di dalam ketuhar, seketul jadam, dan ½ k garam bukit. Kesemua bahan direbus sehingga tiga hari berturut turut. Minyak digunakan untuk mengurut (Kedah).
Cara 2
Batang patawali dicampurkan bersama-sama halia bara, habatus sauda, kunyit, serai wangi dan lada hitam. Semua bahan dikeringkan dan direbus dengan minyak kelapa selama 1 jam. Sediaan digunakan untuk mengurut (Pahang).
Merawat kudis
Tiga hingga lima helai daun patawali, daun jambu batu, dan daun keladi dicampurkan dengan seketul garam jantan dan tiga keping asam keping. Kesemua bahan direbus dan air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari pada waktu pagi dan petang selama tiga hari berturut turut (Selangor).
Meredakan demam kuning
Batang patawali sepanjang satu jari manis dan empat helai daun nilam direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum secawan setiap hari (Perak).
Mengecutkan peranakan
Batang dan daun patawali dicampurkan bersama-sama buah cengkeli, pokok campak jala, buah majakani, daun genggam Fatimah, pokok hempedu bumi daun dan batang pokok soksek, dan kulit bunga tanjong. Semua bahan diambil sebanyak 1 kg kecuali hempedu bumi sebanyak ½ kg. Sediaan dibersihkan, dikisar dan dimasukkan ke dalam kapsul dan dimakan dua biji sekali dua kali sehari pada waktu pagi dan malam (Kelantan).
Mengurangkan sakit otot dan saraf
Cara 1
Batang patawali dijadikan satu daripada bahan untuk dibuat ubat kapsul dan dimakan dua kali sehari (Terengganu).
Cara 2
Batang patawali dicampurkan bersama-sama elek tembaga, cancit murai dan kancing baju. Semua bahan dikeringkan dan dikisar sehingga menjadi serbuk dan dimasukkan ke dalam kapsul (Terengganu).
Merawat gastrik
Batang dan daun patawali dicampurkan bersama-sama buah cengkeli, pokok campak jala, buah majakani, daun genggam Fatimah, pokok hempedu bumi daun dan batang pokok soksek, dan kulit bunga tanjong. Semua bahan diambil sebanyak 1 kg kecuali hempedu bumi sebanyak ½ kg. Sediaan dibersihkan, dikisar dan dimasukkan ke dalam kapsul dan dimakan dua biji sekali dua kali sehari pada waktu pagi dan malam (Kelantan).
Membuang angin dalam badan
Satu tin susu batang patawali dan nasi dikeringkan. Semua campuran dimasukkan ke dalam balang dan dicampurkan dengan air yang telah direbus dengan sedikit garam. Sediaan diminum setengah cawan dua kali sehari (Kedah).
Merawat cirit birit
Sehelai atau dua helai daun jambu batu dikunyah kemudian daun yang telah dikunyah dibuang, dan patinya ditelan (Pahang).
Mengawal tekanan darah tinggi
Cara 1
Batang patawali dimakan begitu sahaja dengan ukuran seinci sekali makan (Kedah).
Cara 2
Seinci batang patawali dimakan dengan sebiji pisang (Kedah).
Cara 3
Batang patawali dicampurkan bersama-sama akar cerita, lada pahit dan timun pahit. Semua bahan dibasuh dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum dua kali sehari (Kedah).
Cara 4
Batang patawali dijemur sehingga kering, direndam dalam air panas, dibiarkan suam dan diminum. Sediaan diminum segelas sehari (Pahang).
Cara 5
Batang patawali direbus bersama-sama limau kasturi dan hempedu bumi. Air rebusan diminum dua kali sehari (Selangor).
Mengawal aras glukosa dalam darah
Cara 1
Batang patawali diamalkan makan begitu sahaja (Selangor).
Cara 2
Batang patawali dijemur selama seminggu sehingga kering bersama-sama tebu gajah, ragi dan timun pahit. Kesemua bahan dikisar sehingga menjadi serbuk dan dimasukkan ke dalam kapsul (Kedah).
Merawat resdung
Batang patawali bersama-sama akar cerita, mengkunyit, ranggi, dan kulim dibersihkan dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan dimasukkan ke dalam besen dan diwapkan pada bahagian muka (Kedah).
Merawat luka (komplikasi kencing manis)
Batang patawali direbus bersama-sama kulit pokok manggis, kulit batang ketereh, kulit batang serai kayu, dan kulit batang sentang. Air rebusan disuamkan seketika dan digunakan untuk merendam bahagian badan yang bermasalah akibat penyakit kencing manis (Kelantan).
Kesan sampingan
Pengambilan air rebusan patawali dalam jangka masa yang panjang dan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang (Jabatan Pertanian Malaysia)
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)