
ALLAH SWT menciptakan sesuatu penyakit, dan Allah SWT juga yang telah memberikan ubatnya. Dalam sabda Rasulullah SAW menyebutkan: ‘Allah tidak menurunkan penyakit, melainkan Dia menurunkan juga ubatnya, manusia mengetahui ubatnya kerana ilmunya dan tidak tahu kerana kebodohannya,’.
Sekarang bergantung kepada manusia bagaimana berfikir, bersikap dan bertindak. Akan tetapi kadang-kadang ilmu yang dimiliki manusia tidak mampu menjangkau, kecuali apabila kita mendapat petunjuk-Nya. Segala sesuatu yang telah diciptakan Allah SWT tidak ada yang sia-sia, semuanya mengandungi makna dan manfaat. Allah SWT menciptakan manusia dan memuliakannya sebagai makhluk yang paling istimewa. Oleh kerana itu dengan akal dan fikiran diharapkan manusia dapat hidup seimbang dunia akhirat, sihat jasmani rohani dengan cara memanfaatkan apa yang ada (bahan alam) dan mencari rahsia yang terkandung di dalamnya.
Dalam Al-Quran, telah dijelaskan tumbuhan yang sangat bermanfaat: ‘Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.’ (surah Al-An’am (6): 141)
Selain itu firman Allah SWT yang menyebutkan tumbuhan sebagai ubat: ‘Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu ke luar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.’ (surah An-Nahl (16): 69)
Ayat-ayat tersebut, membuktikan sesungguhnya pada zaman para Nabi SAW pun telah dikenali ubat-ubatan semulajadi dengan penggunaan ukuran yang sesuai. Sekali lagi, hal ini membuktikan bahawa Al-Quran adalah kitab yang di dalamnya berisi berita dan maklumat yang semuanya terbukti kebenarannya. Al-Quran dijadikan petunjuk bagi manusia, sebagai sumber yang hakiki agar manusia selamat dunia dan akhirat.
Seiring dengan perkembangan zaman, ubat-ubatan semulajadi ini mengalami kemerosotan dan diganti dengan ubat-ubatan kimia. Akan tetapi seruan untuk back to nature kembali bergema bagi mengurangi kesan negatif yang disebabkan oleh ubat-ubatan kimia. Manfaat tumbuhan sebagai alternatif perubatan semulajadi dewasa ini berkembang cukup pesat. Sekitar 25 jenis ubat-ubatan yang diresipikan oleh negara maju mengandungi bahan sebatian aktif hasil ekstraks tanaman ubat.
Perubatan tradisional alternatif lebih memanfaatkan bahan-bahan semulajadi yang ada di sekitarnya. Pengetahuan tentang tumbuhan herba, mulai dari pengenalan jenis tumbuhan, bahagian yang digunakan, cara pengolahan hingga kepada khasiat perubatan merupakan kekayaan pengetahuan tempatan dari masing-masing etnik dalam masyarakat setempat. Umumnya pengetahuan masyarakat tradisional mengenai khasiat ubat sesuatu tumbuhan, didasarkan dari isyarat alam atau perilaku binatang.
Sebagai contoh, helaian daun berbentuk hati (daun waru) mempunyai khasiat mengubati penyakit hati, bahagian tanaman yang berwarna kuning dapat menyembuhkan penyakit kuning, binatang sakit yang memakan tumbuhan tertentu mempunyai petunjuk bahawa tumbuhan tersebut berkhasiat ubat. Hakikat ini sesuai dengan sejarah perubatan Islam yang tersirat dalam Al-Quran dan hadis. Allah SWT sendiri telah memerintahkan hamba-Nya dalam kalam-Nya supaya menggunakan beberapa tanaman serta memanfaatkannya sebagai bahan makanan, ubat dan pakaian. Di bawah ini adalah antara tumbuhan hijau yang banyak khasiatnya dan sering digunakan oleh pelbagai masyarakat sebagai bahan perubatan tradisional.
Nota: Artikel ini adalah petikan (dengan izin) daripada buku “Tumbuhan Penyembuh Penyakit” Oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim. Beliau boleh dihubungi melalui emel: [email protected] atau FB: SMahadzir Syed Ibrahim.