Pokok asam gelugor

Dalam masyarakat Melayu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila mereka menggunakan banyak herba dalam masakan. Pokok asam gelugur dijadikan sebagai bahan dalam masakan sebagai bahan perasa. Ia sangat bagus kepada dalaman badan kerana ia sentiasa berada dalam diet makanan. Dalam rawatan tradisional, pokok ini digunakan untuk meredakan demam, merawat sakit kulit, kudis, luka, meredakan sakit kepala. Bagi aktiviti selepas bersalin, ia digunakan sebagai ramuan mandian bagi ibu selepas bersalin, bertangas dan juga bahan untuk mencuci uri.

Klasifikasi

Family:  Clusiaceae

Genus: Garcinia

Species:  Atroviridis

Nama Saintifik

Garcinia atroviridis

Nama lain

Asam gelugur (Kedah, Pahang, Johor, Kelantan, Perak, Terengganu, Pulau Pinang), asam keping, gelugur (Kedah, Pahang)

habitat

Tumbuhan ini biasanya ditanam.

sifat

Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 30 m. Kulit batang gelugur berwarna kelabu dan dahan tersusun berpilin.

Daun pokok gelugur tersusun setentang, berbentuk oblong, tepi daun licin, permukaan atas daun berkilat, berwarna hijau gelap, dan daun muda berwarna kemerahan.

Jambak bunga pada aksilari, bunga bersaiz besar dan berwarna merah. Buahnya jenis beri, berwarna hijau dan bertukar kuning apabila masak.

cara pembiakan

Biji benih

Buah asam gelugor hijau apabila belum masak
buah asam gelugor sebagai perasa dalam makanan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Hasil penemuan daripada kajian menunjukkan pokok asam gelugur mempunyai kandungan citric acid, tartaric acid, xanthone. Banyak aktiviti farmakologi dilaporkan seperti anti-mikrobial, anti-fungal, anti-malaria, anti-oksidan, anti-radang, anti-nikotine, anti-HIV.

Ekstrak daun asam gelugur yang mengandungi phenols yang tinggi mempunyai aktiviti anti-oksidan yang lebih baik daripada bahagian batang.

Hanya ekstrak buah asam gelugur dilaporkan menunjukkan aktiviti anti-fungal. Akar asam gelugur pula mempunyai aktiviti anti-mikrobial.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti tannins, flavanoids, citric acid, tartaric acid, hydroxycitric acid, xanthone.

Farmakologi Tradisional Pokok Asam gelugor

Dalam perubatan tradisional, pokok asam gelugor digunakan untuk merawat sakit kulit, luka dan kudis, meredakan sakit kepala, mengurangkan lemak badan, meredakan demam kuning, ramuan bertangas, bahan untuk mencuci uri, mengawal tekanan darah tinggi dan aras glukosa dalam darah dan untuk merawat buasir.

Di Thailand, asam gelugur digunakan untuk merawat sakit perut,  batuk, gatal tekak, kelemumur dan untuk meningkatkan pengaliran darah dan penghasilan susu.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat luka

Tiga keping asam gelugur dan daun inai dibasuh dan direbus sehingga kembang. Kesemua bahan diramas dan ditempelkan pada bahagian luka (Pahang).

Meredakan sakit kepala

Tiga keping asam gelugor, ½ bungkus serbuk teh dan tujuh helai pucuk daun sirih diramas dengan sedikit air. Sediaan disapukan bermula pada dahi, kepala dan rambut (Perak)

Merawat kudis

Tiga keping asam gelugur direbus bersama-sama daun patawali, keladi, jambu batu dan seketul garam jantan. Air rebusan digunakan untuk mandian dua kali sehari pada waktu pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut (Selangor).

Meredakan demam kuning

Tujuh keping asam gelugur direbus bersama-sama tujuh pelepah daun belimbing, tujuh pelepah daun cermai, dan tujuh pokok dukung anak. Air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari selama seminggu (Negeri Sembilan).

Meredakan demam

Asam gelugur, pegaga, asam jawa, gula merah, gunjak daun, durian belanda, dan pucuk rabu dikisar dengan sedikit air sehingga hancur. Sediaan diminum sekali sehari (Kedah).

Mengawal aras glukosa dalam darah

Cara 1

Sejengkal akar asam gelugur, akar jering, akar petai belalang, akar nam nam dan akar pandan direbus di dalam satu periuk sehingga tinggal ½ periuk. Air rebusan diminum sekali sehari (Kedah).

Cara 2

Beberapa helai daun asam gelugur direbus dengan tiga gelas air dan secubit beras. Air rebusan diminum secawan sekali sehari (Kedah).

Cara 3

Pucuk asam gelugur dijadikan ulam-ulaman (Terengganu).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top